About Kayangan

SHA HANIM RAMLI

 

“BERKARYA bukan kerana nama tetapi ia merupakan tanggungjawab untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam dada.”

Ungkapan itu menggambarkan betapa membara semangat penulis yang mahu anak watan kembali berpegang kepada rasa cinta terhadap negara.

Daripada kuntum senyuman, pemilik nama Hanim Ramli, 39, atau nama penanya, Sha Hanim Ramli jelas memancar keayuan dan santun pekerti gadis Melayu.

Mendapat pendidikan awal di Britain, penulis yang lebih dikenali dengan genre epik thriller itu kembali ke tanah air untuk meneruskan pelajaran peringkat rendah dan menengah di Shah Alam sebelum menyambung pengajian dalam bidang kesetiausahaan di Kolej Sunway, Bandar Sunway, Selangor.

Memandangkan minat yang mendalam terhadap bidang penulisan, Sha Hanim menyertai pelbagai siri bengkel penulisan sebelum meneruskan kerjaya dalam bidang penulisan skrip.

Anak jati kelahiran Ledang, Johor itu melakar nama dalam bidang penulisan skrip drama televisyen, filem dan animasi.

Dia juga berjaya meletakkan diri di kedudukan lima terbaik dalam beberapa majlis anugerah.

Mula menulis sejak tahun 2003, Sha Hanim herjaya menghasilkan 45 naskhah skrip drama, sebuah filem dan dua animasi.

Kini, dia beralih arah kepada penulisan novel dengan naskhah yang berjudul Dialah Bunga Berembun Bulan.

Merupakan kesinambungan kepada novel Kitab Lama, buku terbitan Hucad Consultant itu ternyata membawa satu konsep penceritaan yang menarik dan tersendiri.

Membawa nafas baharu dalam konteks genre, penulis berbakat itu menyambung kisah tentang wanita bernama Suri yang menjadi tanda tanya kepada pembaca dalam naskhah sebelum ini.

Menggabungkan elemen realiti dan dunia kayangan , buku itu merupakan garapan khas penulis untuk membawa pembaca kepada suatu pemahaman tentang persediaan menghadapi masa hadapan.

“Kisah ini bukan sekadar cerita fiksyen kosong, ia digarap dengan penuh teliti untuk menyampaikan mesej yang bermanfaat kepada semua masyarakat di Malaysia.

Pentas realiti

“Naskhah ini meletakkan sebuah penceritaan yang menggabungkan pentas realiti dengan adunan kisah sejarah Tanah Melayu bersama dunia kayangan,” katanya.

Tambahnya, gabungan itu merupakan salah satu tarikan naskhah Dialah Bunga Berembun Bulan dan Kitab Lama. Ia akan membawa pembaca melihat kisah epik perjuangan menuntut kemerdekaan dalam satu dimensi berbeza.

Kajian terhadap pengisian kisah untuk naskhah itu bermula sejak tahun 2010, mengambil masa tiga tahun untuk mengumpulkan semua input dan pengisian novelnya sebelum memulakan garapan penulisan pada tahun 2014.

Inspirasi Sha Hanim untuk berkarya bertali erat dengan kampung halamannya. Kebanyakan rujukan diambil daripada kisah penceritaan turun temurun daripada warga emas di sekitar Ledang.

Selain membuat rujukan daripada beberapa buah buku, Sha Hanim melihat kisah pengalaman individu yang mengharungi zaman penjajahan membawa makna lebih mendalam dan menyentuh hati.

Baginya, anak muda masa kini beruntung kerana dilahirkan dalam keadaan aman dan sejahtera berbanding masyarakat zaman dahulu yang bergadai nyawa untuk mempertahankan negara.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0902&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_02.htm#ixzz4KfMvXeRi 
 

http://kayangan.my1stop.com.my

Subscribe Store  Contact Us


About    Catalog    Blog    Contact    Payment    Delivery    Return Policy    Buying    Selling    Widgets   

to top